Saban hari, umat Islam Rohingya terus dianiaya dan ditindas. Ribuan mereka terpaksa meninggalkan kampung halaman jika tidak mahu nyawa berakhir di tangan tentera Myanmar. Rumah dibakar dan darah terus mengalir. Nyawa orang Rohingya bagaikan tiada nilainya. Dunia pula hanya menyepi. Kalaupun ada negara-negara yang bersuara, mereka hanya mampu membantah tetapi kekejaman kerajaan Myanmar melalui bala tenteranya tidak berubah.
Persoalannya, sampai bilakah umat Islam Rohingya akan dilayan bagaikan haiwan di negara sendiri. Mereka bukannya pendatang, mereka bukannya pelarian, tetapi mereka adalah rakyat Myanmar yang sepatutnya dilindungi di negara sendiri. Tetapi keadaan itu tidak berlaku. Jika mengikut sejarah, sejak tahun 1962 lagi, di bawah pemerintahan tentera, umat Islam Myanmar sudah dianiaya.
Mereka dibunuh, diusir, ditekan hak-hak mereka dan tidak diakui hak sebagai warga negara. Mengikut rekod pada tahun tersebut seramai 300,000 orang diusir ke wilayah Bangladesh, pada tahun 1978, lebih 500,000 orang diusir dan paling mengejutkan 400,000 orang daripada mereka terbunuh. Kekejaman tentera Myanmar berlanjutan apabila pada tahun 1988, 150,000 orang diusir, diikuti hampir 500,000 orang mengalami nasib yang sama pada tahun 1991.
Rentetan kekejaman itu membuktikan kerajaan Myanmar sama ada di bawah pemerintahan tentera atau tidak, sememangnya membenci umat Islam Rohingya. Mereka mahu menghapuskan sama sekali golongan itu daripada bumi Myanmar dengan hasrat memastikan hanya penganut Buddha sahaja berada di negara tersebut.
Justeru mereka melakukan pelbagai penindasan, kekejaman dan keganasan dengan hasrat memastikan penduduk Islam Rohingya tidak berada seincipun di negara berkenaan. Jika kerajaan Myanmar jujur sudah pastilah mereka akan berusaha menentukan segala kekejaman itu tidak berlaku.
Sebaliknya untuk menutupi kejahatan yang dilakukan, mereka menuding jari menuduh segala keganasan itu dilakukan oleh pejuang-pejuang Rohingya atau mereka panggil pemberontak. Ternyata sekali lagi kerajaan Myanmar melakukan pembohongan bagi melindungi agenda penghapusan etnik yang sedang mereka lakukan ke atas umat Islam Rohingya.
Jika benar pemberontak-pemberontak begitu hebat, kenapakah kerajaan Myanmar tidak meminta bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar pasukan pengamannya? Kenapakah perlu menyekat kemasukan semua agensi bantuan yang mahu memberikan pertolongan kepada beribu-ribu orang awam?
Jelas sekali, kerajaan Myanmar semakin tidak mampu menutupi pekung yang semakin terdedah. Mereka sebenarnya semakin bimbang agenda penghapusan etnik yang sedang mereka lakukan sudah diketahui dunia. Tetapi soalnya, apa masyarakat dunia boleh lakukan? Setakat ini selain daripada Malaysia yang menampakkan kesungguhan untuk membela umat Islam Rohingya, negara-negara lain `masih tidur lena’.
Mereka tidak melihat bahawa penghapusan etnik sedang berlaku di Myanmar seperti mana pernah terjadi ke atas umat Islam Bosnia suatu ketika dahulu. Mungkin juga mereka terus terpengaruh dengan dakyah pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang begitu bijak bersandiwara sebagai pejuang demokrasi tetapi sedangkan tangannya berlumuran dengan darah umat Islam Rohingya.
Adalah sesuatu yang menjijikkan apabila seorang pemenang hadiah Nobel keamanan seperti Suu Kyi boleh memberi seribu satu alasan bagi `menghalalkan’ kebiadaban dan keganasan tentera Myanmar. Apakah mungkin kerana yang terlibat itu umat Islam maka beliau tidak mempedulikannya?